JAWABI
Telah kami hamparkan tikar kurnia
Tapi, siapakah yang datang bertanya?
Telah kami rentangkan jalan raya kemuliaan
Tapi, siapakah yang bersegera untuk melaluinya
Sungguh cahayanya telah kami pancarkan bersama kilaunya
Tetapi permata tidak menyambut sari cahaya dirinya
Seakan akan sejemput tanah ini,
Tidak terjadi dari tanah Insaniah yang pertama
Benarkah kamu telah bersedia dizaman baru
Menjadi Abid Allah tentera Muhammad
Dan menjadi permata berlian menyinar cahaya kebenaran
Sedangkan pelupuk mata mu telah berat
Buat menyambut cahaya subuh dengan takbir
Seakan-akan jiwamu turut tidur bersama pelupuknya
Apakah bezanya terang siang dengan gelap malam
Bagi orang yang berdengkur ditengahhari?
Apakah bezanya Ramadhan menjelang
Bagi jiwa yang tidak dimerdekakan
Jika tidak terbentang suasana indah di langit
Maka bulan pun tidaklah sanggup memancarkan keindahannya
Lihatlah Masjid Allah,
Siapa yang meramaikannya
Kalau bukan orang-orang miskin
Kemana menghilangnya alunan Zikir
Kemana perginya Tahmid dan Takbir
Adapun yang kaya mabuk dalam kelalaian dan menolak seruan
Kekuatan semangat tidak ada lagi
Dalam susunan katamu yang telah basi
Ajaran yang diberi tidak lagi menarik hati
Kalaulah tidak ruh Bilal yang masih ada di dalamnya
Azan itu sendiri pun telah kehilangan keindahannya
Masjid mu telah mati kerana kekurangan saf-saf
Mihrab mu terbiar kerana kematian Iman
Mimbarmu berlumut dan menimbulkan jemu
Tatapilah rumahmu
Penuh dengan alat kebanggaan
Dengan pangkat dan gelar-gelar,
Tun, tan sri, dato’ dan lainnya
Namun aku tak berjumpa Muslim didalamnya
Aku harapkan pemuda inilah yang akan sanggup!
membangunkan zaman yang baru
Memperbaharu kekuatan Iman
Menyalakan pelita hidayah
Menyebarkan ajaran Khatimul Anbiya
Agar cahaya ini kembali bersinar
Dan permata menyambut serinya
Hai orang yang mengadu
janganlah mengeluh sedih, janganlah menangis sedu,
melihat lengang kebun cahayamu
Kerana pagi telah terhampar bersih
Dan kembang-kembang telah menyebarkan harumnya
kumbang dan lebah telah mulai berdengung mengedar
dimulut kuntum, tak kah kau lihat langit,
alangkah jernihnya, tak kah kau lihat ufuk,
Bukankan Rabbmu pernah menjanjikan
Hari yang baru telah pasti datang
dan mentari akan hadir dengan cahaya gemilang.
Dan pandang pulalah ke bumi
tidakkah engkau lihat satu kaum memetik buah
Banyak pula pohon kurma yang telah tiba masa berbuah
Dan benih-benih yang baru bergerak di pelipis bumi,
Memecahkan sendiri tempurungnya,
Melonjakkan tunas untuk menggapai cahayanya
Setelah disiram dengan kebenaran dan dibajai dengan Iman
Dia akan tumbuh dan subur menyeri alam
dan dunia mendapat nafas baru di bawah naungan cahaya semalam
No comments:
Post a Comment