06 May 2011
Ikhtilat
Ikhtilat merupakan suatu bentuk pergaulan secara bebas yang melibatkan lelaki dan perempuan yang ajnabi. Ia merupakan suatu bentuk pergaulan yang ditegah oleh Islam. Sesunguhnya mengambil mudah persoalan ikhtilat boleh membuka ruang maksiat yang berleluasa dalam masyarakat tanpa kita sedari.
Tambahan kemajuan era teknologi sekarang, ikhtilat bukan sahaja melibatkan perjumpaan antara lelaki dan perempuan yang ajnabi malah dengan kemudahan yang ada seperti ym, sms, email dan facebook. Jarak yang jauh didekatkan, masa yang berbeza tidak menjadi masalah begitu juga dengan kos perhubungan. Budaya ini terus menjadi darah daging masyarakat kita terutama remaja-remaja.
Kadang kala perhubungan dimulakan atas dasar kerja tetapi akhirnya melarat sampai perkongsian peribadi bukan perkongsian kepakaran. Maka tenggelamlah konsep 'kerja adalah kerja, peribadi adalah peribadi'. Kononnya hendak memahami dan mewujudkan keserasian dalam bekerja. Seolah-olah kita mencari keredhaan manusia dalam kemurkaan Allah.
Ada yang menimbulkan alasan malas menyusahkan rakan untuk meneman kita. Malas nak tunggu rakan. Malas itu malas ini. Besar sangatkah malas kita berbanding arahan Allah dalam Al-Quran? Tegarkah kita melawan syariatNya..
Syariat Islam turut menyarankan kepada kita untuk menundukkan pandangan. Bukan sahaja haram melihat aurat bukan muhrim malahan bahagian-bahagian bukan aurat turut dilarang. Sabda Rasulullah SAW : " Wahai Ali janganlah pandangan yang kedua menuruti pandangan yang pertama kerana sesungguhnya pandangan pertama itu adalah bagimu sedang yang kedua tidak ( berdosa ).
Kalau dah bergaul dan bercampur bebas masakan kita mampu menahan dan menjaga pandangan. Usah menegakkan benang yang sememangnya basah. saya bukanlah nak menghukum tanpa memberikan jalan penyelesaian.
Jom kita berkongsi tip-tip berurusan dengan bukan muhrim :
1- Elakkan berhubung dengan lelaki. Kalau ada peluang untuk minta bantuan dari nisa' ( bagi nisa' ) dan rijal ( bagi rijal ), mintalah tolong mereka. Lainlah benda-benda di luar kudrat kita contohnya apabila nisa' minta bantuan rijal soal baiki laptop, kereta dan perkara-perkara yang tak mampu dilakukan nisa'. Silalah mempergunakan kemahiran dan kepakaran yang ada. Begitu jugalah sebaliknya bagi rijal.
2- Andai terpaksa berhubung dengan bukan muhrim gunakanlah perantaraan berbentuk tulisan seperti sms, nota kecil dan sebagainya. Ringkaskan dan padatkan ayat-ayat. Tak perlulah meletakkan ikon senyum yang sememangnya comel. Tak perlu disertakan dengan gelak ketawa seperti huhu,hehe,hihi,haha. Seolah-olah kanak-kanak tadika mengajar mengeja. Apatah lagi benda-benda lain yang kurang faedah.
Andai terdesak sangat untuk bercakap melalui telefon, jagalah suara anda terutama nisa' selari dengan tuntutan Al-Quran : " Wahai isteri-isteri nabi, kamu bukanlah seperti perempuan-perempuan lain jika kamu bertaqwa. Maka janganlah lemah lembutkan suara dalam berbicara, sehingga bangkit nafsu orang yang ada penyakit dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan yang baik. " Takkanlah nak tunggu Allah menempelak kita dengan balaNya?
3- Tundukkan hati. Sepatutnya apabila kita berurusan dengan bukan muhrim kita perlu risaukan kemurkaanNya. Banyak-banyaklah berdoa semoga urusan dipermudahkan dan bebas daripada fitnah. Minta dariNya supaya dipelihara daripada panahan syaitan.
4- Tundukkan pandangan. Jangan tertipu dengan matapelajaran kaedah komunikasi yang kita belajar " make eye contact with the person you are talking to". Melainkan dengan kaum sejenis. Teramatlah disarankan demi membina ukhuwah yang kukuh. Berwaspada dengan konsep " dari mata turun ke hati". Tak bermakna tundukkan pandangan sehingga jalan terlanggar tiang.
5- Mempercepatkan urusan. Apabila ada urusan, segerakanlah kerja. Tak perlulah sampai hendak berkongsi hal peribadi, luahan hati, gelak ketawa dan sebagainya yang tidak penting. Berbincanglah di tempat yang sesuai dan segerakan urusan. Jangan lupa peneman anda.
Teringat satu email yang saya dapat mengenai luahan rijal. Jom kita berkongsi bersama. insyaAllah ada manfaatnya.
" lalu apa yang telah aku lakukan selama ini. ya Rabb, tolong ampuni aku. untuk setiap pandangan yang tak terjaga, lisan yang merayu dan hati yang tak terhijab. ya Rabb. Engkau mengawasi kami tiap detik, kerana kasih sayangMu kepada kami Engkau perintahkan malaikat silih berganti menemani kami siang dan malam."
Semoga ia menjadi peringatan bagi kita. Semoga kita dapat mewujudkan biah solehah dalam keredhaanNya. Peringatan untuk diri yang lemah dan banyak kesilapan serta kekurangan dari sahabat-sahabat Islam yang dikasihi.
Sumber : www.pewaris.com
~ selayak-layaknya ini peringatan tegas buat diri saya sendiri!! moga kita sama-sama lebih intabih tentang masalah ikhtilat ni.
~ moga Allah pelihara hati saya & hati kalian dan moga kita semua dijauhkan daripada fitnah-fitnah inshaAllah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment