Pages

12 July 2012

mindsetting ramadhan


dalam kenangan - ihya' ramadhan 1432.


[ Via Sis Amnaani Abdullah Akhili ]


Ogos 2011 tahun lepas, alhamdulillah, Allah izin saya berpeluang menemubual seorang pensyarah di Kolej Teknologi Darul Naim tentang Ramadhan. Beliau adalah Al-Fadhil Ustaz Mohd Noor Bin Awang Kecik.


Q: Bagaimana seharusnya sikap seorang mukmin sebelum dan selepas Ramadhan?

Ramadhan begitu istimewa di hati setiap mukmin dengan segala fadilatnya. Bukan saja dalam Ramadhan tapi sebelum dan selepasnya. Umpamanya, di ambang Ramadhan lagi kita perlu rasa gembira dan dan positif terhadap kedatangannya Apabila menemuinya kita perlu rasa berjaya. Tetapi siapa yang fikir negative akan rasa letih dari awal lagi. 

Sebelum Ramadhan lagi kita perlu RANCANG bagaimana mengisinya dengan segala bentuk ketaatan kerana pada bulan ini amalan sunnah akan memperoleh pahala fardhu.

Jadi selepas Ramadhan sepatutnya kita menjadi hamba yang jujur, ikhlas, dan amanah.
Ini kerana Ramadhan berbeza dengan ibadah lain yang kita boleh lihat secara zahir pelaksanaannya. Tetapi ibadah puasa, kita tidak boleh membezakan sama ada seseorang itu berpuasa atau tidak. Hanya dia dan Allah sahaja yang tahu. 

Jadi hasil tarbiyyah Ramadhan melatih ikhlas, jujur dan amanah. Terutama dengan Allah, ibubapa, dan juga diri sendiri. Sepatutnya latihan intensif 30 hari sepanjang Ramadhan memberi impak. Lahir remaja berwajah baru, bersikap baru kesan Madrasah Ramadhaniyyah yang sepatutnya memberi perubahan dalam hidup. Hala tuju, survival dan matlamat hidup semuanya menjadi jelas. Alangkah malangnya jika kita tergolong dalam yang disabdakan oleh Rasulullah SAW: “Betapa ramai orang yang berpuasa tapi tidak mendapatkan apa-apa baginya kecuali rasa lapar.” (HR An-Nasaie dan Ibnu Majah) 


Q: Bagaimana pula ketika Ramadhan? Apakah bekalan yang boleh kita perolehi sepanjang Ramadhan?

Pelbagai bekalan yang boleh kita dapati daripada Ramadhan, antaranya bekalan Al-Quran. Di dalam Ramadhan remaja seharusnya semakin dekat dengan Al-Quran dan mereka perlu melazimi tabiat hebat ini di bulan-bulan lain. Mereka perlu benar-benar merasai hakikat Quran sebagai hudan linnas (petunjuk bagi manusia).

Bekalan kedua ialah Siyaam (Puasa). Puasa adalah bekal yang hebat. Rasulullah saw menggalakkan puasa 6 Syawal. Selain itu baginda menganjurkan puasa Isnin khamis dan puasa hari-hari cerah (Yaum bayadh) agar kita sentiasa cintakan amalan berpuasa dan bukan semata-mata di bulan Ramadhan.

Bekalan seterusnya ialah Qiyamullail. Remaja harus dilatih cintakan Qiyam. Bukan apabila ada program qiyam jama’ie saja baru buat. Jika telah biasa dilatih, akan jadi darah daging yang sebati dalam hidup. Kita harus jaga qiyam ini kerana saat yang paling rapat antara kita dengan Allah adalah ketika sujud.

Bekalan keempat adalah Infaq. Jangan menunggu masa tua atau beralasan tidak kaya untuk tidak berinfak. Ini kerana Rasulullah tidak mensyaratkan kaya itu sebagai syarat yang membolehkan berinfak. Rasulullah menggalakkan semua orang walaupun tidak kaya. Sebab itu baginda menganjurkan infaq juga walaupun dengan sebiji tamar, segelas air atau susu. 

Di bulan Ramadhan, remaja harus berlumba-lumba menjadi jutawan pahala dengan melakukan amalan-amalan ini sebanyaknya. Jika dari segi infaq pula, tak semestinya infaq yang berbentuk material, malah sepanjang Ramadhan juga kita telah dilatih gemar mendermakan masa dan tenaga. Tidak lokek membantu orang dan sebagainya. Selain itu remaja harus menjadikan dirinya seorang yang sentiasa bermanfaat kepada Islam dan ummah kerana Rasulullah bersabda Khayrunnaas anfa’ahunm linnaas. Sebaik-baik manusia adalah mereka yang paling bermanfaat kepada orang lain. Tidak guna jika seseorang itu menjadi seorang Perdana Menteri sekalipun, jika kita tidak dapat memberi manfaat kepada Islam.

Remaja perlu anggap pahala seperti duit. Dengan duit kita boleh mendapatkan apa saja yang kita kehendaki. Begitu juga fungsi pahala. Di Akhirat kita boleh dapat apa saja yang kita hajati. Justeru kita perlu transfer segala yang kita miliki agar menjadi pahala. Contohnya laptop, motor, telefon bimbit, semua itu boleh menjadi sumber pahala jika kita gunakan dengan sebaiknya.

Janganlah kita menggunakan segala yang dipunyai itu sebagai alat membantu kita memaksiati Allah kerana itu bermakna kita sedang transfer hal milik kita menjadi dosa. 


Q: Sebagaimana yang kita sering dengar, Ramadhan adalah bulan perubahan. Tapi perubahan yang bagaimana yang kita harapkan?

Perubahan yang paling besar dan utama ialah mengikis kerosakan. Sebagaimana kaedah yang digariskan para ulama’ ; Dar’ul Mafasid Awla Min Jalbil Masolih. Membuang kerosakan itu lebih baik daripada menjana kebaikan. Bererti kita wajar melakukan perubahan dengan mengikis buang segala yang tidak baik dalam diri kita dari segi aqidah, akhlaq dan pemikiran. 

Malangnya masyarakat kita hari ini sibuk beramal tapi dalam masa yang sama tidak mahu menanggalkan maksiat daripada kehidupan mereka. Padahal target kita selepas Ramadhan semua dosa terampun dan kita dapat kembali kepada fitrah. Rugilah kita Allah beri kita sebulan jika kita tidak merebut betul-betul peluang itu.

Sepatutnya proses tarbiyyah dan tazkiyyah sepanjang Ramadhan dapat melahirkan kita semula sebagai seorang yang suci bersih sebagaimana baru dilahirkan dalam keadaan fitrah. Beringatlah terhadap sabda Rasulullah SAW : "Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni. " (Diriwayatkan juga oleh Imam Bukhari)



Q: Bagaimanakah kita ingin memastikan kesinambungan madrasah Ramadhan apabila Ramadhan telah meninggalkan kita nanti? Bagaimana untuk istiqomah kesungguhan beramal seperti di bulan Ramadhan? 


Allah jadikan manusia dengan matlamat ubudiyyah yakni perhambaan diri setiap ketika pada Allah. Itulah yang dikatakan hamba rabbani. Jika kita hanya suka beribadah di bulan ramadhan saja, jadilah kita hamba ramadhan. Janganlah bersungguh di bulan ramadhan saja kerana taklif ubudiah itu seharusnya berjalan setiap masa. Cuma dalam bulan Ramadhan Allah tawarkan latihan yang lebih intensif yang disertai tawaran-tawaran hebat. Kita wajib beramal kerana Allah sahaja bukan kerana Ramadhan.Jadi momentum untuk beramal harus sentiasa meningkat dari semasa ke semasa tidak kira di bulan mana sekalipun.

Q: Pesanan Ustaz kepada buat golongan remaja?

Golongan remaja sangat istimewa dan dapat perhatian serius Rasulullah. Dalam banyak hadith Rasulullah khususkan dengan panggilan Ya Ma’syaral Syabab. Ini merupakan satu panggilan penghormatan yang menggambarkan baginda mengambil berat terhadap golongan muda kerana mereka memiliki banyak potensi. Baginda pernah bersabda: “Aku didokong oleh pemuda sedangkan orang tua menolak dakwahku.” Begitu juga dalam Quran Allah memuji generasi muda. “Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahkan petunjuk kepada mereka. (Al-Kahfi :13) 

Remaja dan Ramadhan- harus ada pertalian rapat bukan semasa tua baru ingin menghargai Ramadhan. Pada bulan Ramadhan seharusnya remaja dibimbing dan diberi persediaan secukupnya untuk menghadapi survival 11 bulan lagi dengan bekalan Ramadhan. Remaja cemerlang adalah remaja bertaqwa. Yakni mereka yang takut pada Allah sejak masih muda remaja.

Dalam hal mengumpul bekalan akhirat tiada istilah tunggu masa tua. Tanggapan sebegitu harus dibuang jauh-jauh. Persoalan taqwa dan melakukan kerja-kerja Islam bukan untuk org tua, sebaliknya tugas org muda kerana tenaga dan idea mereka masih banyak. Malah sebenarnya persediaan awal itu mustahak. Persiapan di waktu muda itu penting untuk kegunaan sehingga ke hari tua. Sebaik-baik bekalan di masa muda ialah Al-Quran, bekalan iman dan bekalan Ramadhan kerana tujuan terakhir Ramadhan itu ialah taqwa (La’allakum Tattaqun- Mudah-mudahan kamu bertaqwa).

Perjalanan masih jauh, justeru kita perlu menyiapkan bekal sebanyaknya. Di pertengahan jalan terdapat banyak simpang siur. Sesiapa yang tidak mempunyai bekalan tarbiyah dan jihad yang secukupnya pasti akan gugur di tengah perjalanan. Menurut Syeikh Mustafa Masyhur- Al-Mutasaqitun ‘Ala Toriq Ad-Dakwah (Golongan Yang Gugur Di Sepanjang Jalan Dakwah), antara bekal terbesar itu adalah Ramadhan. 

"Kedatangan Ramadhan seumpama pengembara yang musafir jauh di padang pasir, tiba-tiba terjumpa taman yang redup, indah dan terdapat bekalan air yang banyak. Jadi alangkah ruginya jika tidak ambil peluang masuk ke taman itu dan melengkapkan diri dengan pelbagai bekalan yang terbentang luas".



No comments:

Post a Comment